Apakah tanda bersalin semakin hampir yang perlu para ibu bapa khususnya ambil tahu dan bersedia dari sekarang?
Dalam konteks Malaysia, di mana kadar kelahiran hidup meningkat sebanyak 7.7% kepada 455,761 pada tahun 2023 berbanding 423,124 pada tahun sebelumnya, memahami tanda-tanda bersalin semakin hampir menjadi semakin penting bagi setiap ibu hamil . Peningkatan ini menunjukkan bahawa lebih ramai wanita di negara ini sedang melalui pengalaman kehamilan dan bersalin
Bagi ibu-ibu di Malaysia, terutama yang pertama kali hamil, mengenal pasti tanda-tanda bersalin yang semakin hampir adalah langkah penting dalam memastikan persediaan fizikal dan mental yang mencukupi.
Dengan memahami isyarat-isyarat tubuh yang menunjukkan kelahiran semakin dekat, ibu dapat mengambil langkah proaktif untuk menghadapi proses bersalin dengan lebih yakin dan tenang.
Baca juga: 5 Tanda Luka Jahitan Bersalin Sudah Sembuh
Apa itu Bersalin?

Bersalin merujuk kepada proses semula jadi di mana seorang ibu melahirkan bayinya keluar dari rahim ke dunia luar. Ia berlaku pada akhir kehamilan, biasanya antara minggu ke-37 hingga ke-42, dan menandakan tamatnya tempoh kehamilan.
Dalam erti kata perubatan, bersalin dikenali sebagai proses kelahiran (labour and delivery) yang melibatkan beberapa fasa penting untuk membolehkan bayi keluar melalui laluan kelahiran (faraj) atau secara pembedahan (cesarean section).
Proses Bersalin

1. Peringkat Pertama: Pembukaan Serviks
- Berlaku apabila serviks mula menipis (effacement) dan membuka (dilatasi) dari 0 cm hingga 10 cm.
- Kontraksi rahim menjadi lebih kuat, kerap, dan teratur bagi membantu membuka laluan untuk bayi.
- Fasa ini boleh berlangsung selama beberapa jam hingga lebih sehari, terutamanya bagi ibu yang bersalin kali pertama.
2. Peringkat Kedua: Kelahiran Bayi
- Apabila serviks telah terbuka sepenuhnya (10 cm), ibu akan mula mengejan untuk menolak bayi keluar.
- Bayi akan keluar melalui faraj, atau jika perlu, melalui prosedur pembedahan (caesarean).
- Proses ini biasanya mengambil masa antara beberapa minit hingga beberapa jam.
3. Peringkat Ketiga: Kelahiran Uri (Plasenta)
- Selepas bayi dilahirkan, proses bersalin belum selesai sepenuhnya.
- Uri (plasenta) yang menyalurkan oksigen dan nutrien kepada bayi semasa dalam kandungan akan keluar dari rahim dalam tempoh 5 hingga 30 minit selepas bayi lahir.
Tanda Bersalin Semakin Hampir – Minggu / Hari
Terdapat pelbagai tanda bersalin semakin hampir yang boleh anda periksa pada diri. Antara tandanya adalah seperti berikut:
1. Penurunan Berat Badan

Salah satu tanda yang mengejutkan tetapi biasa dialami oleh ibu hamil menjelang waktu bersalin ialah penurunan berat badan secara tiba-tiba, terutamanya dalam tempoh 1 hingga 2 hari sebelum kelahiran berlaku.
Walaupun kebanyakan ibu menjangka berat akan terus meningkat sehingga bayi dilahirkan, sebenarnya ada situasi di mana berat boleh berkurang sebanyak 0.5 hingga 1.5 kilogram (1 hingga 3 paun) secara semula jadi.
Penurunan berat ini bukan berpunca daripada kehilangan lemak, sebaliknya disebabkan oleh proses fisiologi tubuh yang bersedia untuk kelahiran. Antara faktor yang menyumbang kepada keadaan ini termasuklah:
- Pengurangan Air Ketuban – Jumlah cecair ketuban (air yang mengelilingi bayi dalam rahim) mula berkurang secara semula jadi.
- Kerap Buang Air Kecil – Apabila bayi “turun ke bawah” posisi lebih rendah sebagai persediaan kelahiran, kepala bayi akan menekan lebih kuat pundi kencing ibu menyebabkan ibu kerap kencing.
- Tubuh Buang Cecair Berlebihan – Melalui peluh, kencing dan pengurangan cecair lain. Ini adalah sebahagia daripada cara badan mengurangkan bengkak dan mempersiapkan diri untuk proses kelahiran.
2. Sakit Belakang Bahagian Bawah

Sakit belakang adalah perkara biasa sepanjang kehamilan, kerana sendi dan ligamen secara semula jadi akan melonggar bagi mempersiapkan tubuh untuk proses kelahiran. Namun begitu, terdapat perbezaan yang ketara antara sakit belakang bisa semasa hamil dan sakit belakang yang menandakan kelahiran semakin hampir.
Apabila tempoh bersalin semakin hampir — biasanya dalam 24 hingga 48 jam sebelum kelahiran, ibu akan mula merasai sakit belakang bahagian bawah (lower back pain) yang:
- Lebih kuat mencucuk, dan tidak hilang walaupun setelah berehat dan menukar posisi tidur.
- Rasa sakit akan menjalar dari belakang pinggang ke pinggul dan pelvis, kerana tekanan daripada bayi yang sedang bergerak ke posisi kelahiran.
3. Keluar Lendir Pekat atau “Bloody Show”
Mucus Plug atau Bloody Show adalah lendir pekat bercampur darah yang keluar sebagai tanda bersalin semakin hampir. Ini adalah lendiran semula jadi yang selama ini bertindak sebagai penutup serviks, berfungsi melindungi bayi dalam rahim daripada jangkitan sepanjang kehamilan.
Namun, apabila anda menghampiri waktu bersalin, serviks akan mula melembut menipis dan membuka. Proses ini menyebabkan mucus plug tertanggal dan keluar melalui faraj.
Bagaimana Rupa Lendiran Ini?
- Ia boleh keluar dalam bentuk ketulan lendir yang besar atau cair seperti lelehan biasa.
- Saiznya boleh sebesar 1 hingga 2 sudu teh atau sepanjang 2 inci.
- Warna lendiran ini mungkin jernih, putih pekat, kecoklatan (kesan darah lama), merah jambu atau sedikit berdarah, akibat salur darah halus pada serviks yang pecah semasa proses pembukaan berlaku.
4. Sendi Terasa Longgar atau Tidak Tegang
Tanda bersalin semakin hampir yang berikut adalah sendi-sendi di seluruh badan terasa lebih longgar dan kurang tegap. Perasaan ini berpunca daripada tindakan hormon kehamilan yang dikenali sebagai relaxin, yang dikeluarkan dengan lebih aktif pada penghujung kehamilan.
Hormon ini berfungsi melonggarkan ligamen dan tisu penghubung, terutamanya di bahagian pinggul, bagi memudahkan laluan untuk bayi semasa proses bersalin nanti. Selain kawasan pelvis, sesetengah ibu juga mungkin akan rasa longgar atau tidak stabil pada sendi lutut, pergelangan kaki dan jari-jari, kerana kesan hormon ini boleh dirasai di seluruh tubuh.
Perubahan ini adalah reaksi normal tubuh sebagai persediaan semula jadi untuk kelahiran. Walaupun ia tidak menyebabkan kesakitan yang serius, sesetengah ibu mungkin akan terasa sedikit goyah atau kurang selesa ketika berjalan atau bergerak.
5. Serviks Mula Membuka dan Menipis

Serviks yang berada di bahagian bawah rahim yang menghubungkan rahim ke faraj juga akan mula mengalami perubahan penting sebagai persediaan untuk kelahiran. Perubahan ini merangkumi dua perkara utama iaitu:
- Dilatasi (bukaan) – Serviks sedang terbuka sedikit demi sedikit untuk membolehkan bayi keluar.
- Penipisan (effacement) – Tisu serviks semakin menipis dan lembut bagi memudahkan proses kelahiran.
Perubahan ini biasanya dikesan semasa pemeriksaan dalaman oleh doktor pada hujung kehamilan, terutamanya semasa temujanji mingguan apabila anda sudah menghampiri minggu ke-37 dan seterusnya.
Doktor akan mengukur tahap bukaan serviks dalam sentimeter (0 cm hingga 10 cm) dan tahap penipisan dalam peratus (%).
Namun begitu, penting untuk diingat bahawa setiap wanita mengalami proses ini secara berbeza. Ada yang mula membuka sedikit lebih awal, tetapi tidak bersalin sehingga beberapa minggu kemudian, manakala ada pula yang mula membuka dengan cepat hanya dalam masa beberapa jam sebelum bersalin.
6. Badan Terasa Sangat Letih

Ramai ibu hamil akan mula mengalami rasa letih yang luar biasa, walaupun tidak melakukan aktiviti berat. Keletihan ini berpunca daripada beberapa faktor fizikal yang berlaku pada minggu-minggu akhir kehamilan.
Antaranya ialah saiz perut yang semakin besar, yang menyukarkan ibu untuk mencari posisi tidur yang selesa. Selain itu, apabila bayi turun ke bawah sebagai persiapan untuk kelahiran, tekanan pada pundi kencing dan organ dalaman lain turut meningkat, menyebabkan ibu kerap ke tandas, terutama waktu malam, sekali gus mengganggu kualiti tidur.
Walaupun keletihan ini adalah normal, anda digalakkan untuk:
- Berehat sebanyak mungkin dan jangan terlalu memaksa diri.
- Gunakan bantal tambahan untuk sokongan belakang dan perut ketika tidur.
- Ambil tidur sekejap (nap) pada waktu siang jika tidak dapat tidur lena pada waktu malam.
- Elakkan minuman berkafein pada waktu petang atau malam supaya tidur lebih nyenyak.
7. Rasa Sakit Mencucuk Tiba-Tiba di Bahagian Kemaluan
“Lightning crotch” adalah rasa sakit yang tajam, mencucuk dan datang secara tiba-tiba di bahagian vagina atau pelvis.
Rasa sakit ini muncul secara sekejap, hanya beberapa saat tetapi cukup kuat untuk membuatkan anda terhenti seketika daripada apa yang sedang dilakukan. Fenomena ini biasanya berlaku pada penghujung kehamilan, ketika bayi semakin besar dan sedang menekan lebih kuat ke bawah, bersedia untuk dilahirkan.
Mengapa Berlaku Lightning Crotch?
- Bayi yang semakin besar mungkin menyentuh atau menekan saraf di sekitar pelvis atau saluran faraj.
- Kedudukan kepala bayi yang semakin rendah di kawasan pelvis menambahkan tekanan pada struktur saraf dan tulang.
- Kadang-kadang, tendangan atau pergerakan bayi juga boleh mencetuskan rasa mencucuk itu secara tiba-tiba.
Ciri-Ciri Lightning Crotch:
- Rasa seperti sakit renjatan elektrik atau mencucuk dari dalam faraj atau bahagian bawah perut.
- Berlaku tiba-tiba dan tidak berpanjangan — biasanya hanya beberapa saat.
- Boleh berlaku secara tidak dijangka, sama ada ketika berdiri, berjalan atau duduk.
Walaupun rasa ini boleh membuatkan ibu terkejut atau tidak selesa, ia sebenarnya adalah tanda biasa dan tidak berbahaya, menunjukkan bahawa badan dan bayi sedang bersedia untuk proses kelahiran.
8. Kontraksi Sebenar

Menjelang waktu bersalin, salah satu tanda paling jelas yang dialami oleh ibu hamil ialah kontraksi sebenar. Ia berbeza dengan kontraksi Braxton-Hicks, iaitu kontraksi palsu yang biasanya bermula beberapa minggu atau bulan sebelum kelahiran.
Kontraksi palsu ini berlaku apabila otot rahim mula “berlatih” untuk bersalin. Ia sering dirasai sebagai ketegangan atau rasa tidak selesa di bahagian perut, tetapi tidak konsisten, tidak kuat dan biasanya hanya berlangsung beberapa saat sahaja.
Sebaliknya, kontraksi sebenar lebih kuat, lebih kerap, dan berlangsung lebih lama, biasanya melebihi satu minit setiap kali. Kontraksi ini akan mula datang secara berkala.
Contohnya setiap 4 hingga 5 minit dan tidak hilang walaupun anda tukar posisi, berehat atau berjalan. Rasa sakitnya juga semakin meningkat dari masa ke masa dan mula menjalar ke bahagian belakang dan pinggang.
Berikut ialah jadual perbezaan antara kontraksi sebenar dan Braxton-Hicks (Kontraksi Palsu) untuk memudahkan pemahaman:
Ciri | Kontraksi Sebenar | Braxton-Hicks |
---|---|---|
Kekerapan | Teratur dan semakin kerap | Tidak tetap, tidak konsisten |
Kekuatan Kontraksi | Semakin kuat dan tidak berkurang | Biasanya ringan dan tidak semakin kuat |
Tempoh Setiap Kontraksi | Boleh melebihi 1 minit | Biasanya pendek (beberapa saat sahaja) |
Rasa Sakit | Rasa sakit yang menjalar ke pinggang dan belakang | Rasa tidak selesa di bahagian depan perut atau rahim |
Respons kepada Pergerakan | Tidak hilang walaupun tukar posisi atau berjalan | Hilang apabila berehat, tukar posisi, atau minum air |
9. Cirit-birit Sebelum Bersalin

Cirit-birit atau kerap membuang air besar secara tiba-tiba sebelum bersalin dikenali sebagai prelabor diarrhea.
Ia ia berlaku apabila hormon kelahiran seperti prostaglandin yang terlibat dalam melembutkan serviks dan mencetuskan kontraksi juga memberi kesan kepada sistem pencernaan. Hormon ini boleh merangsang pergerakan otot usus, menyebabkan najis bergerak lebih cepat melalui saluran penghadaman, lalu menghasilkan najis yang lebih cair dan kerap.
Bagaimana Ia Berbeza dari Cirit-birit Biasa?
- Berlaku secara tiba-tiba walaupun tanpa perubahan diet.
- Tidak disertai dengan gejala lain seperti muntah atau demam (berbeza dengan jangkitan perut).
- Biasanya berlaku 1 hingga 2 hari sebelum kelahiran, walaupun ada juga yang mengalaminya lebih awal.
10. Naluri ‘Nesting’ yang Melampau

Menjelang detik kelahiran, ramai ibu hamil akan mengalami satu perubahan tingkah laku yang dikenali sebagai “nesting instinct”, iaitu dorongan kuat untuk membersihkan, menyusun, dan menyediakan rumah untuk menyambut bayi.
Naluri ini adalah perkara biasa dalam trimester ketiga, tetapi apabila anda mula mengalami keinginan yang sangat mendadak dan kuat untuk mengemas atau menyusun semula rumah secara ekstrem, ia boleh menjadi tanda bahawa proses bersalin bakal berlaku dalam masa 24 hingga 48 jam.
Bila Perlu Pergi Hospital?
Menjelang saat bersalin, tubuh ibu akan menunjukkan beberapa tanda awal kelahiran seperti kontraksi dan pecah air ketuban. Namun, penting untuk mengetahui bilakah masa yang sesuai untuk ke hospital, agr proses pemantauan dan kalehiran dapat dijalankan dengan selamat. Berikut ialah panduan berdasarkan nasihat pakar kesihatan:
1. Kontraksi yang Teratur dan Kerap
Kontraksi awal mungkin berlaku beberapa jam sebelum anda perlu ke hospital. Namun, jika anda:
- Pertama kali bersalin (ibu kali pertama): Anda perlu pergi ke hospital apabila kontraksi berlaku setiap 3 hingga 4 minit dan berterusan selama 2 jam. Ini menunjukkan tubuh sedang bersedia secara aktif untuk bersalin.
- Pernah bersalin sebelum ini: Proses kelahiran biasanya lebih cepat. Jadi, anda disarankan pergi ke hospital (apabila kontraksi datang setiap 5 minit dan berterusan selama sekurang-kurangnya 1 jam). Ini penting kerana kelahiran kedua dan seterusnya boleh berlaku dengan lebih pantas, dan menunggu terlalu lama di rumah boleh meningkatkan risiko bersalin tanpa pemantaun perubatan yang mencukupi.
2. Air Ketuban Pecah
Pecah air ketuban adalah tanda jelas bahawa kelahiran sedang bermula dan anda perlu segera ke hospital, walaupun belum mengalami kontraksi yang kerap.
Bagaimana nak tahu jika air ketuban sudah pecah?
- Anda akan mendapati cairan keluar dari faraj yang lebih banyak dan berair berbanding lelehan biasa semasa hamil.
- Cairan ini mungkin jernih, merah jambu, kekuningan atau kecoklatan, bergantung kepada keadaan bayi dalam rahim.
- Ia keluar secara berterusan dan tidak boleh dikawal, berbeza dengan kencing yang boleh dihentikan. Pakaian dalam anda akan terus basah walaupun selepas ditukar.
3. Tanda-tanda Lain yang Perlukan Perhatian Segera
Selain kontraksi dan pecah air ketuban, anda juga perlu ke hospital segera jika:
- Pendarahan berlebihan seperti haid.
- Pergerakan bayi berkurang atau tidak aktif.
- Anda mengalami demam, sakit kepala yang kuat, penglihatan kabur atau bengkak teruk, yang mungkin tanda komplikasi seperti praeklampsia.
- Rasa tidak selesa yang melampau atau naluri ibu merasakan ada sesuatu yang tidak kena.
Kesimpulan
Setiap kehamilan adalah unik, jadi peka terhadap perubahan tubuh anda dan sentiasa berhubung dengan doktor adalah langkah terbaik bagi memastikan kelahiran berjalan lancar dan selamat.
Dengan memahami 10 tanda bersalin semakin hampir ini sedikit sebanyak dapat memberikan anda ilmu untuk membuat persediaan.
Baca juga: 10 Jenama Pad Bersalin Terbaik Untuk Bakal Ibu
Rujukan:
- How To Tell When Labor Begins. The American Collage of Obstetricians and Gynecologists
- Signs and Symptoms of Labor. American Pregnancy Association
- What are The First Signs of Labour? National Child Birth Trust